Wednesday, 11 March 2015

3. KAUM KADAZAN-DUSUN DI SABAH

Pesta Kaamatan
Pesta Kaamatan disambut oleh masyarakat Kadazan-dusun sebagai meraikan tuaian yang baik, tetapi pesta ini juga disambut oleh semua kaum lain di Sabah. Pesta Kaamatan ini disambut sepanjang bulan Mei walaupun perayaan ini hanya pada 30 dan 31 Mei. Kemuncak perayaan Kaamatan adalah peraduan ratu cantik atau unduk ngadau, tarian tradisi, dan upacara kemuncak yang dijalankan oleh ’Bobohizan’ iaitu ketua pendita.

Pesta Kaamatan bagi kaum Kadazan juga dikenali sebagai Tadau Kaamatan dalam bahasa Kadazandusun. Masyarakat Kadazan percaya kepada makhluk halus dan dipercayai terdapat lima makhluk halus iaitu Kinoringan (Ketua makluk halus & Pencipta), Rusod (semangat semua benda hidup kecuali manusia), Koududuwo (semangat manusia), Tombiruo (semangat orang yang telah meninggal), dan Rogon (semangat jahat).

Menurut kepercayaan Kadazan, semangat padi iaitu ‘Kinoingan’ yang turut dikenali sebagai ‘Bambaazon’ disembah sebagai pencipta dan berkuasa sebagai sumber kepada kewujudan alam. Semangat padi Bambaazon dimuliakan pada pokok padi, beras dan nasi. Mereka berpegang kepada prinsip yang mempercayai bahawa "Tanpa padi, tiada kehidupan."
           

Ketika pesta Kaamatan diraikan, penduduk Sabah mengenakan pakaian tradisi mereka dan menari tarian Sumazau yang diiringi dengan alat muzik tradisi. Selain itu, tapai atau arak beras dihidangkan sebagai minuman istimewa. Mereka juga akan menyapa sesama sendiri dengan ucapan 'Kopivosian Tadau Ka'amatan' atau 'Selamat Hari Menuai'.

No comments:

Post a Comment