Wednesday, 11 March 2015

PENDAHULUAN

Perayaan adalah suatu aktiviti yang disambut oleh sesebuah masyarakat ataupun kaum. Kebiasaannya, sesuatu perayaan itu disambut oleh sesebuah masyarakat ataupun kaum adalah bertujuan untuk memperingati peristiwa penting yang pernah berlaku pada suatu masa dahulu. Selain itu,perayaan juga akan disambut berdasarkan agama yang dianuti.
Malaysia dikenali sebagai syurga perayaan kerana mempunyai banyak perayaan yang disambut oleh masyarakatnya yang berbilang kaum. Kita mempunyai Tahun Baru Cina, Hari Raya, Krismas, Deepavali dan banyak lagi perayaan yang disambut oleh penduduk negara ini. Perayaan ini telah memberi satu dimensi baru kepada masyarakat kita dan luar tentang erti perayaan sebenar. Kepelbagaian perayaan di negara ini turut membuka banyak kebaikan kepada negara dan masyarakat yang mendiami negara tercinta ini.

            Perayaan yang terdapat di Malaysia bukanlah sesuatu kekangan tetapi satu rahmat yang harus digunakan dengan sebaik mungkin. Kita harus menjadikan perayaan itu sebagai cubaan untuk merapatkan hubungan dan mengurangkan perbezaan antara kaum. Kalau itu mampu dicapai sudah pasti kemakmuran negara akan berkekalan. Sememangnya Malaysia sebuah negara yang melambangkan erti benua Asia kerana mempunyai pelbagai keturunan dan perayaan.

1. KAUM CINA

a)    Tahun Baru Cina
           Perayaan ini disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di Malaysia yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalendar mereka. Orang Cina percaya terdapat 12 binatang yang menaungi kalendar mereka iaitu tikus , lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan khinzir. Setiap binatang ini memberi signifikan dan tuahnya tersendiri.
Pada malam Tahun Baru semua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama. Tujuannya adalah untuk mengeratkan jalinan hubungan sesama keluarga. Ahli kelurga yang telah berumahtangga akan memberi ‘angpau’ kepada saudara mara dan sahabat yang belum berumahtangga. ‘Angpau’ merupakan sejenis sampul berwarna merah dan diisi dengan sejumlah wang yang membawa pengertian kesejahteraan yang berpanjangan. Buah limau mandarin dan kuih bakul pula merupakan kemestian yang perlu ada semasa merayakan Tahun Baru Cina.
Sepanjang Tahun Baru Cina berlangsung, tarian singa dimainkan dari rumah ke rumah dan kedai-kedai untuk memberi berkat kepada mereka yang meraikan perayaan tersebut. Penutup kepada perayaan Tahun baru Cina ialah perayaan Chap Goh Mei.


                                                          TAHUN BARU CINA
b) Chap Goh Mei

Lima belas hari selepas Tahun Baru Cina merupakan hari Chap Goh Mei yang disambut sebagai menandakan berakhirnya perayaan Tahun Baru Cina. Pesta Chap Goh Mei disambut dengan mengadakan upacara sembahyang secara besar-besaran, di mana colok besar akan dibakar dan juga diadakan makan besar bersama keluarga. Bunga api dibakar dan tanglung dinyalakan bagi meraikan Chap Goh Mei.

Chap Goh Mei juga dianggap sebagai malam mencari pasangan di mana para gadis akan berpakaian serba indah dan mengunjungi kuil untuk berdoa agar mendapat pasangan yang serasi. Terdapat juga amalan melontar buah limau ke dalam laut atau sungai dengan berdoa untuk mendapat pasangan. Buah limau yang basah membawa pesanan agar mereka mendapat pasangan yang sesuai.

Persembahan kebudayaan Cina akan diadakan pada waktu malam bagi menandakan perayaan Chap Goh Mei seperti perarakan tanglung, tarian naga atau singa, opera Cina, dan mengimbang bendera besar “Chingay”.


                                                                CHAP GOH MEI
                                                                  PESTA KUIH BULAN
c) Perayaan Kuih Bulan

Perayaan Kuih Bulan merupakan perayaan menyambut kemenangan orang Cina menumpaskan penjajah Mongol pada akhir Dinasti Yuan (120 Sebelum Masihi - 1341 Masihi). Perayaan Kuih Bulan disambut pada hari kelima belas dalam bulan kelapan mengikut kalendar Cina iaitu pada akhir bulan Ogos atau awal bulan September. Perayaan Kuih Bulan disambut dengan perarakan tanglung pada malam perayaan.

Salah satu hidangan istimewa pada perayaan Kuih Bulan merupakan Kuih Bulan itu sendiri. Kuih Bulan itu diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah, atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin. Menurut tradisi, pesanan untuk memberontak telah disebarkan melalui surat yang diletakkan di dalam Kuih Bulan yang akhirnya berjaya menjatuhkan Dinasti Mongol.

Terdapat juga tradisi yang menyatakan Kuih Bulan dibuat sebagai persembahan kepada Dewa Dapur. Dewa Dapur yang makan Kuih Bulan tidak dapat menyampaikan lapuran buruk kepada Maharaja Syurga disebabkan mulutnya terkunci oleh Kuih Bulan yang manis itu.